Ipoh, Nov 10.

Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) membuat laporan polis berhubung tindakan beberapa individu mencabut misai harimau belang yang ditemui mati dipercayai dilanggar treler di Lebuhraya Utara-Selatan (Plus) arah selatan berhampiran hentian sebelah Gua Tempurung pada pagi semalam.

Pengarah Perhilitan Perak Yusoff Shariff berkata laporan oleh pihaknya dilakukan di Balai Polis Kampung Simee di sini petang semalam.

“Semasa saya membuat pemeriksaan, hanya misai yang hilang manakala kuku, gigi, taring dan lain-lain masih ada pada harimau itu,” katanya.

Yusoff mengingatkan orang ramai supaya tidak bertindak mencuri sebarang anggota milik harimau belang sekiranya menemui bangkai haiwan itu bagi mengelakkan mereka dikenakan tindakan tegas.

Semalam media melaporkan, seekor harimau belang jantan ditemukan mati di tepi pembahagi jalan berdekatan lebuhraya terbabit.

Harimau belang itu juga dipercayai adalah binatang yang dilaporkan menyerang ternakan dan menimbulkan kegusaran penduduk sekitar Kampar sebelum ini.

Ads by Kiosked

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here