Pengasas Westports, Tan Sri G Gnanalingam meninggal dunia

KUALA LUMPUR: Pengasas dan Pengerusi Eksekutif Westports Holdings Bhd, Tan Sri G Gnanalingam, 78, meninggal dunia hari ini.

Mendiang mengasaskan syarikat pengendali pelabuhan itu bersama Ahmayuddin Ahmad selepas mendapat persetujuan pada 1994.

Westports memperoleh konsesi selama 60 tahun untuk mengendali dan memperbesarkan terminal kontena di Pulau Indah dan Pelabuhan Klang yang akan berakhir pada 2054.

Ia adalah salah satu daripada tiga pelabuhan utama di Selat Melaka yang mengendalikan gerbang kargo kontena penghantaran.

Menurut senarai Forbes, Gnanalingam ialah individu ke-13 paling kaya di Malaysia dengan nilai bersih AS$1.4 bilion (RM6.5 bilion) pada 2023.

Anak lelakinya, Datuk Ruben Emir Gnanalingam Abdullah kini ialah Pengarah Urusan Westports manakala anak perempuannya, Shaline Gnanalingam ialah Pengarah Bukan Bebas Bukan Eksekutif.

Westports telah berkembang menjadi salah satu syarikat terbesar di Bursa Malaysia hari ini, dengan permodalan pasaran mencecah RM12 bilion.

Gnanalingam memulakan kerjayanya bersama British American Tobacco (BAT) pada 1968 sebagai wakil jualan dan kemudiannya dinaikkan pangkat sebagai Pengarah Pemasaran Kumpulan pada 1980.

Turut dikenali sebagai peminat sukan dan pernah menjadi atlet, Gnanalingam juga dikenali sebagai pakar pemasaran.

Semasa di BAT, mendiang bertanggungjawab mengendalikan projek seperti membawakan siaran langsung Piala Dunia ke kaca televisyen negara ini buat kali pertama pada 1982.

Gnanalingam juga adalah individu yang bertanggungjawab menjadi perunding komersial untuk Radio Televisyen Malaysia (RTM), apabila berjaya meningkatkan pendapatan stesen penyiar itu daripada RM55 juta pada 1988 kepada RM350 juta pada 1996.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here