Gerik, Nov 27.
Tiga sekeluarga cemas apabila kereta dinaiki mereka dipijak kawanan gajah di Kilometer 55 Jalan Raya Timur Barat Gerik-Jeli, sebelum Hentian Titiwangsa menghala Jeli, dekat sini malam tadi.
Kejadian kira-kira jam 7.35 malam ketika keluarga berkenaan dalam perjalanan dari arah Pulau Pinang menghala Jertih di Terengganu, menaiki Perodua Axia sebelum pemandu kereta, lelaki berusia 48 tahun terlanggar anak gajah.
Ketua Polis Daerah Gerik, Superintendan Zulkifli Mahmood, berkata pemandu berkenaan sebelum itu ternampak kawanan enam gajah di laluan berselekoh menghala Jeli.
Apabila sampai di lokasi kemalangan yang berselekoh ke kiri menghala Jeli, pemandu Perodua Axia itu ternampak enam gajah berada di laluan dan kemudian terlanggar anak gajah. Selepas itu, kawanan gajah terbabit menghampiri Perodua Axia berkenaan lalu memijaknya dan hanya beredar selepas anak gajah yang dilanggar itu bangun. Kejadian ketika hujan renyai-renyai dan persekitaran berkabus,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Akibat kejadian itu, katanya, kereta berkenaan rosak teruk bahagian sisi kiri, hadapan dan belakang, namun pemandu serta dua penumpang, masing-masing berusia 23 dan 47 tahun tidak mengalami kecederaan.