Kuala Lumpur, Dis 07.
Polis akan merakam keterangan ibu bapa kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin, dalam menjalankan siasatan lanjut berhubung kematian kanak-kanak autisme itu selepas dilaporkan hilang.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohd Fakhrudin Abdul Hamid, berkata polis juga akan merakam keterangan jiran dan saksi dalam masa terdekat bagi membantu siasatan.
Buat masa ini, beliau berkata, polis mengklasifikasikan kematian kanak-kanak berumur enam tahun itu sebagai mati mengejut .
Proses bedah siasat dijadual dijalankan di Hospital Sungai Buloh (HSB) bermula jam 9.30 pagi ini.
“Bagi siasatan lanjut, kita akan merakam keterangan saksi kejadian, keluarga dan jiran,” katanya.
Selepas dilaporkan hilang tengah hari kelmarin di Damansara Damai, di sini, Zayn Rayyan ditemui maut dalam aliran anak sungai berhampiran kawasan kediamannya kira-kira jam 10 malam tadi.