Ramanan teruskan legasi nenek Tan Sri Devaki Krishnan

Kuala Lumpur, Dis 13.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan semalam pelantikan Datuk R.Ramanan yang juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Khas Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (Mitra), sebagai Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dam Koperasi, menggantikan Saraswathy Kandasami yang berpindah ke jawatan Timbalan Menteri Perpaduan.

Ramanan yang memiliki ijazah dalam bidang teknologi kejuruteraan (mekanikal) daripada Queensland University of Technology (QUT) di Australia, mula bergiat aktif dalam politik dengan menyertai parti MIC pada pertengahan tahun 2000.

Ahli Parlimen Sungai Buloh, Ramanan yang dilahirkan dalam keluarga yang lama berkecimpung dalam arena politik, sejak zaman pra-kemerdekaan lagi, kini sudah bersedia untuk meneruskan legasi keluarganya, sebagai Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi.

Jurutera terlatih profesional berusia 42 tahun itu adalah cucu kepada ‘Grand Dame’ dalam politik kaum India di Malaysia, Tan Sri Devaki Krishnan, wanita pertama memegang jawatan awam di Tanah Melayu sebelum merdeka, yang dipilih sebagai ahli Majlis Perbandaran Bangsar pada 1952.

Ramanan yang dilahirkan pada 11 Februari 1981 di Kuala Lumpur dinamakan sebagai calon untuk bertanding buat kali pertama, dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) di atas tiket Pakatan Harapan (PH), dan beliau terus menjadi perhatian ramai apabila menewaskan lawannya yang dianggap ramai sebagai ‘gagah’.

Pada pilihan raya itu beliau menewaskan bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin dalam pertandingan tujuh penjuru di kawasan parlimen Sungai Buloh, dengan majoriti 2,693 undi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here