Ipoh, Dis 18.
Pegawai kanan polis yang terbabit dalam kejadian pelajar Tingkatan 5 yang maut akibat dilanggar kereta berdekatan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jati dekat Meru, di sini, dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan di Mahkamah Majistret Ipoh, di sini, pagi ini.
Tertuduh, Mohd Nazri Abdul Razak, 44, yang tiba di mahkamah dengan tangannya digari dari belakang, mengenakan baju T warna putih berseluar hitam memahami pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret S. Punitha.
Pertuduhan dikendalikan oleh sepasukan lapan Timbalan Pendakwa Raya yang diketuai oleh Azlina Rasdi, Khairul Azreem Mamat, Afzainizam Abdul Aziz, Saiful Akmal Mod Said, Nasrul Hadi Abdul Ghani, J.S. Geetha, Low Qin Hui, dan Wan Azimah Yaacob.
Mengikut kertas pertuduhan, lelaki itu didakwa melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian terhadap Muhammad Zaharif Affendi Muhd Zamrie, 17, di Jalan Taman Jati 1, berhampiran SMK Jati, dalam daerah Kinta, di sini, antara jam 12.05 tengahari hingga 12.40 tengah hari 15 Disember lalu.






















