KUALA LUMPUR –
Satu lagi kes positif novel koronavirus 2019 (2019-nCoV) dilaporkan membabitkan seorang lelaki tempatan berusia 31 tahun yang mempunyai sejarah perjalanan melawat China, kata Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.
Beliau berkata lelaki tersebut yang bekerja di Macau, China kembali ke Malaysia pada 1 Feb lepas.
Dr Noor Hisham berkata individu terbabit mula merasa tidak sihat dan batuk pada 3 Feb lepas dan telah pergi ke klinik dan diberi ubat pada 4 dan 6 Feb.
“Pada 7 Feb, beliau masih tidak sihat dan mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan dan selanjutnya pada hari yang sama beliau telah dirujuk ke Hospital Banting, Selangor untuk pemeriksaan dan rawatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya setelah disaring dan disiasat, lelaki itu dikesan mengalami radang paru-paru (pneumonia) dan telah dimasukkan ke hospital tersebut sebelum pemeriksaan seterusnya mendapati lelaki itu menghidap jangkitan pernafasan akut teruk (SARI) dan memerlukan pemantauan rapi.
“Beliau seterusnya telah dirujuk dengan segera ke Hospital Sungai Buloh. Pihak hospital sudah pun memulakan rawatan dan menjalankan siasatan lanjut. Sampel klinikal pesakit telah diambil dan pada 9 Feb telah disahkan positif 2019-nCoV,” katanya.
Sehingga semalam, angka keseluruhan jangkitan koronavirus dalam negara berjumlah 17 kes.