Shah Alam, Jan 02.
Orang ramai boleh memperbaharui cukai jalan kenderaan atau Lesen Kenderaan Motor (LKM) dan Lesen Memandu Malaysia (LMM), menerusi aplikasi MyJPJ bermula Februari ini.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, berkata pertambahan fungsi baharu berkenaan akan memudahkan orang awam untuk memperbaharui LKM dan LMM secara digital selain menjimatkan masa dan kos serta dapat mengurangkan kesesakan urus niaga secara fizikal di kaunter-kaunter Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
Pelaksanaan urus niaga pembaharuan LKM melalui aplikasi ini akan dilaksanakan secara berfasa yang mana pada peringkat permulaan hanya melibatkan kenderaan persendirian individu (warganegara)
Untuk menggalakkan penggunaan e-LMM, individu yang memilih Lesen Memandu Malaysia Digital (e-LMM) ketika pembaharuan akan menikmati rebat sebanyak RM5, yang mana rebat ini akan dinikmati sepanjang tahun 2024 iaitu bermula 1 Februari sehingga 31 Disember, katanya pada sidang media selepas mengadakan sesi lawatan ke JPJ Selangor di sini, hari ini.























