Selayang, Jan 04.
Enam termasuk tiga beradik didakwa di Mahkamah Majistret hari ini kerana membunuh dan menanam seorang pengawal keselamatan yang berpunca daripada penyebaran gambar bogel di sebuah rumah di Sungai Choh, Rawang, bulan lalu.
Bagaimanapun, G.Ganong Segaran, 34, adik perempuannya, G.Malani 33, S. Devi 30, P. Sararavanan 31, dan P. K. Vikinesvaran 20, hanya mengangguk faham sejurus pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Nor Hafizah Rajuni.
Tiada pengakuan direkodkan daripada tiga lelaki dan dua wanita itu yang tidak diwakili peguam berikutan kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mengikut pertuduhan, kesemua mereka didakwa membunuh S. Ashok 20, di sebuah rumah di Jalan Sungai Buaya, Sungai Choh, Rawang, antara jam 8 pagi hingga 3.30 petang, 23 Disember lalu.
Berdasarkan tuduhan, mereka melupuskan kesalahan dengan menanam mayat Ashok di tempat dan tarikh sama, jam 3.30 petang hingga 8 malam, mengikut Seksyen 201 KK dibaca bersama Seksyen 34 KK yang membawa kepada hukuman penjara hingga tujuh tahun atau denda.
Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Nor Hakimi Mohamad Rosedin, tidak mencadangkan jaminan terhadap enam tertuduh berkenaan.
Bagaimanapun, peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) mewakili Dandem, Erni Ahmad, memohon jaminan diberikan kepada anak guam yang bekerja di syarikat swasta dengan pendapatan RM1,500 sebulan dan ada tiga anak masih bersekolah.
Mahkamah kemudian membenarkan Dandem diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan syarat tambahan tidak mengganggu saksi pendakwaan sehingga kes selesai manakala lima lagi tidak diberi jaminan.
Sebutan semula kes ditetapkan pada 4 Mac ini.
















