Kuala Selangor, Jan 6.
Tindakan seorang petani meninggalkan keretanya dalam keadaan enjin masih hidup ketika membeli sarapan, mengundang padah apabila kenderaan itu dilaporkan hilang akibat dilarikan, semalam.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Deputi Superintendan Mohd Ambia Nordin, berkata kejadian jam 8.15 pagi dilaporkan berlaku ketika lelaki berusia 41 tahun itu berada di warung nasi lemak berhadapan sebuah restoran di pekan Ijok, Bestari Jaya, di sini.
Katanya, mangsa dikatakan memarkir Perodua Myvi yang dipandunya itu pada jarak kira-kira lima meter dari tempat membeli makanan.
Bagaimanapun, beliau berkata, kenderaan itu kemudian dilihat diundurkan dengan pantas sebelum dibawa lari ke arah jalan besar yang menghala ke Ijok.




















