Menara Merdeka 118 mercu kejayaan meniti kemerdekaan – Agong

Kuala Lumpur, Jan 11.
Rakyat perlu melihat Menara Merdeka 118 sebagai kejayaan dalam meniti liku-liku kemerdekaan sehingga sebuah negara serba rencam dan majmuk dapat disatukan atas semangat nasionalisme yang tinggi.

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah mercu tanda baharu itu adalah simbol rakyat meraikan kepelbagaian negara sebagai realiti wajah Malaysia yang merdeka.

“Dari sudut mana sekalipun kita melihat menara ini, ia memberi cerminan bagaimana negara kita telah melalui peredaran zaman sehingga akhirnya maju jaya dalam pelbagai bidang dengan struktur sosial dan nilai perpaduan menurut acuan kita yang tersendiri.
“Justeru, rakyat Malaysia sewajarnya berasa bangga kerana Menara Merdeka 118 ini adalah bukti kejayaan Malaysia yang berterusan,” titah baginda pada Majlis Perasmian Menara Merdeka 118 di sini hari ini. Turut berangkat Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Pada masa sama, Al-Sultan Abdullah berkenan merasmi dan memasyhurkan Masjid Al-Sultan Abdullah yang merupakan masjid utama di Kompleks Menara Merdeka 118 serta menzahirkan ucapan terima kasih kerana sudi menamakan ia dengan nama baginda.

“Ia adalah satu tanda ingatan dan hadiah yang sungguh berharga kepada beta dan Raja Permaisuri Agong yang akan kami hargai selagi nyawa di kandung badan,” titah baginda.
Al-Sultan Abdullah merakamkan ucapan tahniah kepada seluruh warga Permodalan Nasional Berhad (PNB) kerana menjadikan pembinaan Menara Merdeka 118 satu kenyataan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here