Stadium Merdeka Akan Dibuka Semula

Kuala Lumpur, Jan 11.
Stadium Merdeka, antara mercu tanda ikonik bersejarah negara yang ditutup sejak 2016 dijangka dibuka kepada orang ramai pada suku kedua tahun ini.

Pengerusi Kumpulan Permodalan Nasional Berhad (PNB), Arshad Raja Uda berkata, usaha restorasi untuk mengembalikan stadium itu kepada keadaan asal seperti ketika 1957 mendapat kerjasama Badan Warisan Malaysia dan Jabatan Warisan Negara.

Usaha restorasi bangunan bersejarah ini diharapkan dapat meningkatkan nilai warisan budaya negara serta mencipta peluang ekonomi dan sosial berkekalan, selain menarik kedatangan pelancong tempatan dan antarabangsa ke lokasi ikonik ini.

Beliau berkata demikian dalam ucapan sempena Majlis Perasmian Menara Merdeka 118 yang disempurnakan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah malam tadi.

PNB Merdeka Ventures Sdn Bhd, anak syarikat PNB menubuhkan Merdeka Heritage Trust (MHT) 2006 untuk memulih, memelihara dan menguruskan Stadium Merdeka.

Ia termasuk pemindahan teres tempat duduk untuk kapasiti tempat duduk lebih besar, iaitu 45,000 tempat duduk yang dibina untuk Sukan SEA 1989.

Stadium Merdeka dianggap keajaiban kejuruteraan Persekutuan Tanah Melayu apabila mula dibina pada 1956 dan siap dalam tempoh setahun serta menjadi lokasi detik paling bersejarah apabila Tunku Abdul Rahman mengisytiharkan kemerdekaan negara pada 31 Ogos 1957, diikuti pembentukan Malaysia pada 16 Sept 1963.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here