Kenyataan Tun M tidak relevan, tidak bertanggungjawab – PM Anwar

Kuala Lumpur, Jan 16.
Perdana Menteri menempelak kenyataan Tun Dr Mahathir Mohamad baru-baru ini yang mendakwa masyarakat India di Malaysia tidak sepenuhnya setia kepada negara.

Tegas Datuk Seri Anwar Ibrahim, kenyataan sedemikian tidak relevan dan tidak bertanggungjawab apatah lagi keluar dari mulut bekas Perdana Menteri yang lama mentadbir Malaysia.

Menurut Anwar, Dr Mahathir sememangnya terkenal dengan kenyataan berunsur perkauman sebegitu. “Saya tidak anggap kenyataan Tun Dr Mahathir itu relevan. Itu kenyataan yang tidak bertanggungjawab daripada seorang mantan Perdana Menteri sekian lama, kemudian menghina mana-mana kaum, sama ada majoriti, minoriti.

“Dia sememangnya terkenal. Orang Melayu bagi dia malas, melainkan dia. Orang India dan Cina itu dianggap kurang setia melainkan beberapa kroni dia.

“Saya fikir kenyataan dia itu kita bantah keras, sangat tidak bertanggungjawab. Bagi saya, semua rakyat yang setia, harus kita hormati,” kata Anwar.

Perdan Menteri berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Peluncuran ‘Program Artifical Intelligence (AI) Untuk Rakyat’ di Serdang, pada Selasa.

Dr Mahathir sebelum ini dilapor mendakwa masyarakat India Malaysia masih tidak setia sepenuhnya kepada negara ini kerana mereka masih ‘terikat’ dengan negara asal mereka.
Pandangan itu disuarakan beliau dalam temu bual eksklusif secara dalam talian dengan saluran TV satelit India, Thanthi TV.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here