LTTE: permohonan jaminan dua ADUN, ketua pegawai perbadanan ditolak

MELAKA –
Mahkamah Sesyen di sini, hari ini menolak permohonan jaminan dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan seorang ketua pegawai perbadanan yang menghadapi pertuduhan memberi sokongan kepada kumpulan pengganas LTTE, November tahun lepas.
Hakim Elesabet Paya Wan dalam penghakimannya berkata permohonan daripada ADUN Gadek, G. Saminathan, 34; ADUN Seremban Jaya, P. Gunasekaran, 60, dan ketua pegawai perbadanan, S. Chandru, 38, itu ditolak kerana kes itu melibatkan keselamatan negara.Elesabet berkata pihak pembelaan juga gagal menunjukkan merit dalam sebarang keadaan khas kenapa jaminan itu perlu diberikan kepada tiga tertuduh itu.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Muzila Mohamed Arsad dan Hayatul Wirdah Mohd Yunos, manakala semua tertuduh diwakili peguam Ramkarpal Singh dan Damian Yeo Shen Li. Semalam, Hakim Elesabet membenarkan pihak pembelaan mengemukakan permohonan jaminan terhadap ketiga-tiga tertuduh sebelum memerintahkan kes itu dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Pada 29 Okt lepas, Saminathan, Gunasekaran dan Chandru didakwa memberi sokongan kepada kumpulan pengganas LTTE dalam satu majlis di Dewan Kasturi Ayer Keroh, Jalan Utama, Taman Ayer Keroh Heights di sini pada 8.30 malam hingga 10.50 malam, 28 Nov 2018.

Saminathan turut didakwa dengan satu lagi pertuduhan memiliki item yang berunsur perbuatan keganasan atau berkaitan dengan kumpulan pengganas LTTE di dalam sebuah telefon bimbit jenama Samsung Galaxy S9+ warna biru gelap di Pejabat Exco Perpaduan Sumber Manusia dan Hal Ehwal Pengguna, Jabatan Ketua Menteri, Kompleks Seri Negeri di sini pada 10.25 pagi, 10 Okt lepas.

Pada 29 Nov lepas, Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Mohd Nazlan Mohd Ghazali memutuskan Saminathan dibenar mengemukakan permohonan untuk diikat jamin memandangkan Seksyen 13 Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) adalah tidak berpelembagaan.

Pada 1 Nov lepas, Hakim Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur Rozina Ayob memutuskan bahawa terdapat merit dalam permohonan pembelaan mengikut Seksyen 13(2) SOSMA bagi merujuk isu perlembagaan berhubung jaminan ke Mahkamah Tinggi.

Mahkamah itu membenarkan permohonan Saminathan dan 11 lelaki lain untuk merujuk isu perlembagaan berhubung jaminan ke Mahkamah Tinggi.

Kesemua mereka didakwa di Mahkamah Sesyen berasingan di beberapa negeri pada 29 dan 31 Okt lepas atas pertuduhan berkaitan kumpulan pengganas LTTE.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here