Daim mengaku tak salah gagal isytihar harta

Kuala Lumpur, Jan 29.
Bekas Menteri Kewangan Tun Daim Zainuddin dihadapkan ke Mahkamah Sesyen atas tuduhan gagal mematuhi notis Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dengan tidak mengisytiharkan 70 aset dan satu akaun bank.

Daim, 85, atau nama sebenarnya Che Abdul Daim Zainuddin kelihatan tenang dan hanya menjawab, “faham” dan “minta bicara” selepas tuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Azura Alwi.

Beliau yang memakai sut hitam dan berkerusi roda, dibenarkan berada di luar kandang tertuduh sepanjang proses pertuduhan.

Daim yang memegang jawatan dari tahun 1984 hingga 1991 didakwa dengan sengaja memberikan satu pernyataan bertulis dengan bersumpah yang tidak mematuhi terma notis di bawah seksyen 36(1)(a) Akta SPRM 2009 (Akta 694) bertarikh 8 November 2023 yang dihantar kepadanya oleh pegawai SPRM berpangkat Pesuruhjaya dan yang lebih tinggi pada 14 November 2023, dengan tidak mengisytiharkan harta.

Semua harta terbabit antaranya enam kereta termasuk Mercedes Benz, Jaguar, Austin Morris dan Rolls Royce, 38 syarikat antaranya Ibu Kota Developments Sdn Bhd, Menara Ampang Sdn Bhd dan Avillion Berhad, 25 hartanah dan tanah di bawah syarikat di Kuala Lumpur, Ampang, Raub, Pahang dan Kuala Muda Kedah serta akaun Amanah Saham Nasional Berhad (ASB) dan Amanah Saham Nasional (ASN).

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) No.2, Lebuh Wawasan, Presint 7, Putrajaya pada 13 Disember tahun lalu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here