Sasar lima tahun capai 35 peratus hutan simpan kekal

Kerajaan Negeri menyasarkan tempoh lima tahun bagi mencapai 35 peratus keluasan hutan simpanan kekal di Selangor, kata EXCO alam sekitar.

Hee Loy Sian berkata jumlah itu adalah sasaran jangka panjang manakala jangka pendek tidak kurang 30 peratus keluasan tanah negeri.

“Ia menyaksikan peningkatan menjelang 2025 meliputi kawasan kira-kira 250,207 hektar termasuk hutan darat asli, hutan paya gambut dan hutan paya laut.

“Manakala, bagi setiap pengambilan kawasan hutan simpanan kekal untuk tujuan pembangunan, pembinaan talian penghantar elektrik, lebuh raya dan saluran paip ia perlu digantikan dengan sama saiz atau lebih kawasan hutan gantian,” katanya kepada SelangorKini.

Mengulas lanjut, Loy Sian berkata enakmen akta perhutanan sedia ada memadai untuk memelihara alam sekitar.

“Bagaimanapun, kita akan membuat beberapa penambahbaikan dari semasa ke semasa dengan memberi fokus kepada perkara tertentu antaranya caj perkhidmatan hutan, kesalahan di bawah perundangan khusus dan pengenaan penalti bagi pelanggaran syarat atau peraturan lesen,” katanya.

Selain itu, katanya, isu berkaitan perdagangan atau jenayah rentas sempadan dan pengubahan wang haram dalam sektor perhutanan atau industri berasas kayu turut diberi perhatian bagi memastikan hutan simpanan kekal di Selangor terjaga.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here