LIMA PREMIS PERNIAGAAN MUSNAH DALAM KEBAKARAN

Kuantan, Sept 11-

Lima premis perniagaan musnah dalam kebakaran di Jalan Padang Lalang, di sini, awal pagi tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuantan Kamerul Bieza Mohamed Kassim berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 4.40 pagi sebelum tiba di lokasi kejadian kira-kira 10 minit kemudian.

“Kita terima panggilan kecemasan pada jam 4.40 pagi dan tiba di lokasi kejadian kira-kira 10 minit kemudian.

“Kebakaran membabitkan bengkel kereta, kedai kimpalan dan kedai pakaian terpakai ini dapat dikawal dalam tempoh 45 minit dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan,” katanya.

Operasi memadam kebakaran itu membabitkan 30 pegawai dan anggota bersama lima jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuantan dibantu Balai Bomba dan Penyelamat Indera Mahkota dan Gebeng.

Tambahnya, punca kejadian dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.

Sementara itu, seorang saksi yang hanya mahu dikenali sebagai Soon, 44, berkata, bunyi seperti percikan api telah mengejutkannya yang sedang tidur sebelum bertindak menghubungi pihak bomba.

“Bila saya lihat api marak, saya cepat-cepat hubungi bomba memaklumkan ada kebakaran di sini. Selepas itu, saya telefon pemilik kedai yang lain memaklumkan mengenai kebakaran di kawasan ini.

“Api marak dengan cepat dan merebak dari satu kedai ke kedai lain. Nasib baik tidak ada orang dalam bengkel itu ketika kejadian,” katanya ketika ditemui, pagi tadi.

Pemilik bengkel kereta Chin Kok Wooi, 62, berkata empat buah kereta pelanggan yang berada di dalam premis tersebut untuk dibaiki telah musnah akibat kebakaran berkenaan.

Beliau yang telah mengusahakan bengkel itu lebih 40 tahun sama sekali tidak menjangkakan insiden berkenaan akan menimpanya dan menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk lakukan siasatan sama ada ia melibatkan perbuatan khianat atau sebaliknya

“Saya telah dihubungi Soon dalam 4 pagi yang memaklumkan bengkel terbakar sebelum bergegas ke mari dan melihat semuanya sudah habis disambar api,” katanya, menurut laporan Bernama.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here