Polis rampas dadah RM2.7 juta

Johor Bahru, Jan 29.
Polis menumpaskan sindiket pengedaran dadah ke negara jiran menggunakan jalan laut selepas menahan lapan individu dan merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM2.73 juta dalam satu operasi khas, pada 24 dan 25 Jan.

Ketua Polis Johor M. Kumar Muthuvelu, berkata operasi khas Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman dan JSJN Johor itu dilakukan di sekitar Tampoi dan Parit Jawa di daerah Muar serta di Permatang Pauh, Pulau Pinang dan Muadzam Shah, Pahang.Beliau berkata, semua lapan lelaki termasuk ‘mastermind’ sindiket itu merupakan warga tempatan berusia antara 23 dan 40 tahun.

“Modus operandi kegiatan sindiket ini adalah dengan menjadikan rumah sebagai transit dan stor penyimpanan dadah, sebelum ia diseludup ke negara jiran menggunakan jalan laut oleh tekong laut.

“Dipercayai sindiket ini aktif beroperasi sejak Jun tahun lepas dan kita sedang menyiasat serta mengesan individu lain yang turut terlibat,” katanya pada sidang media di IPD Johor.

Kumar berkata, pihaknya juga sedang menyiasat sekiranya terdapat makmal bagi memproses dadah dan penglibatan individu lain dalam sindiket tersebut.

Beliau berkata, dadah yang dirampas dalam serbuan itu adalah 82.86kg syabu, 2.78g pil ekstasi, dan 2.5g ketamin.

Menurutnya, turut disita lapan kereta dan 12 motosikal, pelbagai barang kemas, wang tunai RM10,200 serta pelbagai jenis jam tangan dengan keseluruhan dianggarkan RM1.78 juta.

Sementara itu, beliau berkata hasil siasatan mendapati tujuh individu yang ditahan mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah, manakala seorang dalam senarai dikehendaki.

Semua lapan individu itu direman tujuh hari bermula 25 Jan dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here