Ipoh, Jan 30.
Seorang bekas guru sebuah taska dihadapkan semula di mahkamah di sini hari ini atas pertuduhan mengabaikan seorang kanak-kanak di bawah jagaannya sehingga menyebabkan mangsa mati lemas, April tahun lepas.
S. Esther Christina, 59, mengekalkan pengakuan tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Ainul Shahrin Mohamad.
Pada 12 Julai lepas, wanita itu didakwa di Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan sama.
Mengikut pertuduhan, Esther Christina yang mempunyai pemeliharaan ke atas V. Thanes Nair, 4, didakwa telah meninggalkan kanak-kanak itu tanpa pengawasan dan pemeliharaan untuk satu tempoh yang tidak berpatutan.
Dia dituduh melakukan perbuatan itu di kolam renang The Centro Club, Bandar Baru Sri Klebang di sini pada 10.20 pagi, 17 April 2023. Peguam Gary Xavier yang mewakili tertuduh merayu jaminan dikekalkan seperti sebelum ini iaitu RM2,500 dengan seorang penjamin atas alasan tertuduh menjalani pembedahan barah otak dan kini sedang mendapatkan rawatan susulan serta mengambil ubat antisawan, selain tidak lagi bekerja dan menanggung ibunya yang berusia 80 tahun serta turut memberikan kerjasama semasa siasatan.
Mahkamah membenarkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 21 Mac untuk sebutan semula kes. Kanak-kanak itu dilaporkan meninggal dunia pada 23 April 2023, setelah enam hari bertarung nyawa di Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh.
Ibu mangsa D. Nilaveni, 41, turut dilihat hadir dengan wajah sugul di mahkamah mengendong anak patung serta membawa beg kanak-kanak bersama botol susu dipercayai milik mendiang anaknya. Beliau ditemani suaminya V. Vijay, 44.









