Kematian kanser meningkat

Kuala Lumpur, Feb 5.
Laporan Jabatan Perangkaan Malaysia 2023 menunjukkan kanser adalah punca kematian keempat tertinggi di Malaysia, menyaksikan peningkatan kepada 12.6% pada 2022 berbanding 10.5% bagi tahun sebelumnya.

Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad berkata berdasarkan Laporan Fakta Kesihatan Malaysia 2023, kanser juga adalah antara punca utama kematian di hospital swasta meliputi 26.44% dan yang keempat di hospital Kementerian Kesihatan (KKM) iaitu 9.29%. “Kematian yang tinggi ini juga dapat dikaitkan dengan pengesanan penyakit di tahap yang lewat iaitu tahap 3 dan 4 yang tinggi melebihi 60% daripada keseluruhan kanser yang dilaporkan, berdasarkan laporan oleh Registri Kanser Malaysia,” menurutnya dalam kenyataan.

Beliau berkata data Registri Kanser Malaysia menunjukkan bahawa sejumlah 168,822 kes baharu telah dilaporkan bagi tempoh lima tahun bermula 2017 hingga 2021 manakala kanser payudara, kanser kolorektal, kanser paru-paru, kanser limfoma dan kanser hati merekodkan kadar insiden tertinggi bagi tempoh berkenaan.

Sempena sambutan Hari Kanser Sedunia bertema Close the Care yang berlangsung semalam, Dzulkefly menyeru rakyat Malaysia untuk terus mengamalkan gaya hidup sihat melalui pemakanan selain aktif secara fizikal, tidak mengambil alkohol dan tidak merokok.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here