Remaja maut ditimbus tanah ketika mendulang emas

Lipis, Feb.
Seorang remaja maut akibat ditimbus tanah runtuh dipercayai ketika mendulang emas sambil menggali tanah menggunakan tangan di Kampung Pantos, Sungai Koyan, di sini, semalam.

Kejadian berlaku ketika mangsa, Budiman Johan, 18, bersama empat rakan dipercayai melakukan aktiviti mencari emas di sebuah ladang milik Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) berdekatan kawasan pembetung parit.

Ketua Polis Daerah Lipis, Superintendan Azli Mohd Noor, berkata terdahulu lima sekawan itu dikatakan pergi ke lokasi terbabit kira-kira jam 3.00 pagi semalam.

“Ketika mangsa mendulang emas, dia dikatakan turut menggali tanah dengan menggunakan tangan. Bagaimanapun, berlaku gelongsoran tanah lalu menimpa mangsa menyebabkannya tertimbus,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Susulan itu, Azli berkata, rakan-rakan mangsa dikatakan membantu mengeluarkan mangsa dari bawah timbunan tanah sebelum membawanya balik ke rumah remaja itu di sini. Katanya, hasil pemeriksaan pegawai perubatan dari Klinik Kesihatan Sungai Koyan yang dipanggil ke kediaman remaja itu kemudian mengesahkan mangsa telah meninggal dunia.

Seterusnya, beliau berkata, mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Kuala Lipis dan hasil bedah siasat mendapati punca kematian adalah ‘asfiksia (sukar bernafas) akibat tanah runtuh’.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here