Kuala Lumpur, Mac.
Ahli perniagaan, Datuk Abdul Malik Dasthigeer atau lebih dikenali sebagai Datuk Malik, membuat laporan polis selepas dirinya dikaitkan dengan individu disyaki ‘raja dadah’ India.
Abdul Malik menerusi perkongsian di laman sosialnya, menafikan pernah bertemu atau bercakap dengan individu terbabit.
“Saya seorang ahli perniagaan di Malaysia dan ada pihak tertentu yang ingin merosakkan imej saya dalam dunia perniagaan, terutamanya dalam industri perfileman,” katanya.
Susulan itu, beliau membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi dan menghantar salinan laporan terbabit kepada Suruhanjaya Tinggi India, bagi tindakan lanjut diambil terhadap pihak yang menyebarkan berita palsu berkenaan.
Sebelum ini, sebuah portal berita dalam talian mendakwa bos kepada ‘raja dadah India’ yang merupakan seorang pengedar filem warga Malaysia, didakwa mempunyai hubungan rapat dengan selebriti industri filem Tamil dan sedang berada di negara ini.
Ini susulan seorang lelaki ditahan Lembaga Kawalan Narkotik (NCB) India, selepas didakwa mempunyai kaitan dengan penyeludupan dadah antarabangsa termasuk di Malaysia.