Seludup kaki ayam berharga RM80,000 Wanita ditahan

Bangkok, Mac.
Seorang wanita Thailand ditahan di Songkhla, selatan Thailand kelmarin kerana disyaki menyeludup kaki ayam bernilai RM77,972 dari Malaysia.

Bahagian Polis Perlindungan Pengguna (CPPD) di bawah Biro Siasatan Pusat (CIB) Daerah Hat Yai diketuai Anand Buakaew berkata, pihak berkuasa menyerbu sebuah pondok di Hat Yai yang dijadikan gudang sejuk beku untuk menyimpan karkas haiwan, khasnya ayam itik diseludup dari Malaysia.

“Semasa operasi, pasukan itu memberkas wanita terlibat yang juga penjaga gudang dan menemui 5,664kg kaki ayam serta 565kg kaki ayam dibuang tulang, menjadikan keseluruhannya 6,229kg bernilai hampir 600,000 baht,” katanya kepada Bernama ketika dihubungi semalam.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati suspek 46 tahun itu tiada dokumen menunjukkan sumber asal anggota ayam, selain tiada permit untuk membawa masuk karkas haiwan ke Thailand dan permit membawa haiwan atau karkas keluar atau masuk ke zon ditetapkan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here