Shah Alam, Mei-
Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menggesa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mewujudkan pasukan khas bagi menguatkuasakan larangan merokok di premis makanan.
Presidennya, Datuk Dr Adnan Mat berkata, kumpulan tersebut terdiri daripada Pegawai Kesihatan Persekitaran (PKP) dan Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran (PPKP).
Menurutnya, walaupun lebih 5,000 jawatan PKP dan PPKP yang wujud, namun ia tidak mampu menguatkuasakan sepenuhnya.
“Ini kerana mereka turut dibebani dengan tugas kawalan penyakit berjangkit, vektor, pemantauan kualiti dan keselamatan makanan.
“Sekiranya kerajaan ingin melihat kejayaan penguatkuasaan ini, maka pewujudan jawatan khas dan penambahan jawatan PPKP dan PKP amat diperlukan bagi menjayakan aktiviti penguatkuasaan larangan merokok terutama di premis makanan,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Tambah Adnan, pihaknya memohon supaya KKM dapat memastikan jawatan kontrak bagi dua jawatan tersebut diserap menjadi pekerja tetap dan menentukan kejayaan di dalam aktiviti kesihatan rakyat.




















