Kuala Lumpur, Jun-
Mahkamah Tinggi membenarkan dua afidavit dijadikan keterangan termasuk daripada Najib Razak, dalam cubaan bekas perdana menteri itu memastikan pihak berkuasa membenarkannya jalani baki hukuman penjara melalui tahanan rumah.
Juga dibenarkan masuk sebagai keterangan melibatkan afidavit difailkan lewat bulan lalu oleh Naib Presiden Umno Wan Rosdy Wan Ismail, untuk menyokong permohonan Najib.Susulan itu, Hakim Amarjeet Singh, yang sepatutnya membuat keputusan sama ada Najib diberi kebenaran memulakan semakan kehakiman hari ini, menjadualkan keputusan itu pada 3 Julai.
Peguam Kanan Persekutuan Shamsul Bolhassan, berkata afidavit tambahan Najib telah difailkan minggu lalu.“Dua afidavit dikemukakan itu untuk bukti baharu. Kami membantahnya kerana dokumen berkenaan difailkan menerusi surat tanpa kebenaran mahkamah,” katanya kepada pemberita selepas pendengaran.
Bagaimanapun, beliau berkata hakim membenarkan dua afidavit dimasukkan sebagai keterangan. Turut sama hadir bagi mewakili pendakwaan – Ahmad Hanir Hambaly dan Ainna Sherina Saiful Amin.
Shamsul berkata, Pejabat Peguam Negara kekal dengan pendirian bahawa afidavit tersebut tidak sepatutnya menjadi sebahagian keterangan kes.