Kuala Lumpur, Jun-
Lima ahli keluarga suspek serangan Balai Polis Ulu Tiram bulan lalu didakwa di Mahkamah Sesyen Johor Bahru atas sembilan pertuduhan berasingan, termasuk menggalakkan perbuatan pengganas dengan menanam ideologi keganasan kumpulan pengganas IS.
Tertuduh ialah bapa suspek, Radin Imran Radin Mohd Yassin, 62, dan ibunya yang juga warga Singapura, Rosna Jantan, 59.Tiga lagi tertuduh ialah abang suspek, Radin Romyullah Radin Imran, 34, kakaknya Farhah Sobrina Radin Imran, 23, dan adiknya Mariah Radin Imran, 19.
Berita Harian melaporkan tiada pengakuan direkodkan selepas sembilan pertuduhan dibacakan kepada lima tertuduh di depan Hakim Che Wan Zaidi Che Wan Ibrahim.
Lima sekeluarga itu berdepan hukuman penjara tujuh hingga 40 tahun atau denda atau kedua-duanya, dengan semua harta digunakan untuk melakukan kesalahan berkenaan akan dirampas, jika sabit kesalahan.
Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Jalan Rabani, Kampung Sungai Tiram antara April 2017 hingga 17 Mei lalu.
Kes itu dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohammad Mustaffa P. Kunyalam dan Fazeedah Faik, manakala lima tertuduh tidak diwakili peguam.
Mustaffa memaklumkan mahkamah tiada jaminan ditawarkan kepada lima tertuduh yang ditahan di bawah Seksyen 13 Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma).

















