Nahas Lamborghini: Pemandu warga emas 62 tahun rentung

Bentong, July-
Lelaki yang maut dalam kemalangan kereta mewah jenis Lamborghini dipandunya di Kilometer (KM) 57, Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak dekat sini, pagi tadi, dikenal pasti sebagai warga emas tempatan berusia 62 tahun.

Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar, berkata mangsa dikenali sebagai Fung Swee Yen ditemui rentung selepas terperangkap di dalam kereta itu yang terbakar dan gagal dikeluarkan oleh orang awam.

Beliau berkata, nahas jam 9.45 pagi tadi dipercayai berlaku apabila pemandu terbabit gagal mengawal keretanya itu ketika dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Bentong.

“Kereta itu kemudian melanggar tembok sebelum menggelungsur ke longkang kiri jalan dan berpusing lalu terbakar,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Terdahulu, media melaporkan seorang lelaki disahkan meninggal dunia di tempat kejadian apabila kereta Lamborghini dipandunya terbabas dan terbakar di lokasi berkenaan.

Seterusnya, Zaiham berkata, insiden berkenaan turut menyebabkan penumpang kereta itu membabitkan seorang wanita tempatan berusia 47 tahun mengalami kecederaan.

Beliau berkata, wanita itu berjaya dikeluarkan oleh orang awam sebelum dihantar ke Hospital Bentong untuk rawatan lanjut.

“Penumpang wanita itu didapati melecur di bahagian tangan dan kaki. Mangsa kini menerima rawatan di hospital dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here