Tak perlu takut buat CPR-Dr Malar

Kuala Lumpur, July-
Walaupun tidak tahu cara atau tiada pengalaman melakukan prosedur resusitasi kardio-pulmonari (CPR), sesiapa saja perlu bertindak segera memberikan bantuan kecemasan itu jika berdepan dalam situasi yang boleh mengancam nyawa.

Pegawai perubatan dan pempengaruh media sosial, Dr S. Malar Santhi, berkata sesiapa saja yang berdepan situasi cemas perlu menjalankan tanggungjawab untuk menyelamatkan nyawa terlebih dahulu dan tidak perlu takut untuk melakukan prosedur berkenaan.

Mengambil contoh kes pemain badminton remaja China, Zhang Zhi Jie yang meninggal dunia akibat serangan jantung ketika perlawanan di Kejohanan Badminton Remaja Asia di Yogyakarta, Ahad lalu, Dr Malar berkata, apa yang penting dalam situasi seperti itu adalah respon yang betul, tepat dan cepat.

Beliau berkata, perkara pertama yang perlu dilakukan sesiapa yang berdepan situasi berkenaan adalah memeriksa respon mangsa dan jika tiada sebarang respon, jerit segera meminta bantuan dan meminta peranti defibrillator luaran automatik (AED) dibawa ke lokasi kecemasan.”Kemudian, anda sendiri perlu mulakan CPR. Jangan toleh kiri kanan depan belakang cari orang lain. Tidak kisah sama ada anda pernah belajar CPR, tidak pernah buat CPR, pernah belajar tapi sudah lupa atau takut, tolak tepi semua perasaan itu.

“Ambil kedua-dua tapak tangan dan letakkan dekat tengah-tengah dada mangsa, terus mulakan CPR dengan menghenjakkan bahu anda ke bawah dan berikan tekanan sekuat mungkin. Jangan takut dia (mangsa) sakit kerana orang itu tiada nadi pun, jangan takut patah tulang rusuknya.

“Anda hanya berikan tekanan CPR kepada mangsa dengan harapan jantung dia boleh mengepam kembali. Biasanya dalam dua ke tiga minit CPR dilakukan, anda akan penat dan pastikan ada orang di sekeliling anda yang boleh ganti membuat CPR ini sehingga bantuan profesional, seperti ambulans atau paramedik sampai,” kata beliau melalui Facebooknya.

Dr Malar juga memaklumkan, sesiapa yang memberikan bantuan kecemasan, termasuk CPR dalam situasi yang mengancam nyawa, tidak boleh didakwa atau disaman walaupun mangsa mungkin mengalami kecederaan.

“Anda tidak boleh didakwa dan disaman, kononnya salah bagi CPR atau sampai patah tulang rusuk mangsa. Ada perlindungan undang-undang (untuk pemberi bantuan), jadi tidak perlu takut.

“Hanya takut kepada Pencipta yang soal anda satu hari nanti, kenapa tengok saja, tidak buat apa-apa dan tidak jalankan tanggungjawab.

“Ingat, mangsa itu, bila tiba ajalnya, dia akan pergi juga, tidak awal atau tidak lewat sesaat pun. Cuma kita yang dihadirkan di sebelah mangsa pada ketika itu yang diberi ujian, nak lihat sama ada kita tengok buat tidak tahu saja, berada dalam ketakutan atau kita jalankan tanggungjawab kita.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here