SKMM sekat lebih 10,000 laman sesawang

Putrajaya, Ogos-
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) memaklumkan sejumlah 10,423 laman sesawang telah disekat susulan pelanggaran undang-undang dari 1 Jan 2022 hingga 1 Ogos lepas.

Kenyataan SKMM hari ini menyebut daripada jumlah itu, sebanyak 95.7% laman sesawang yang disekat adalah terdiri daripada lima kategori utama iaitu perjudian dalam talian (4,484 laman) diikuti pornografi (3,271), pelanggaran hak cipta (1,654), scam atau pelaburan haram (316) dan pelacuran (249).

“Dalam tempoh lima tahun, jumlah sekatan laman sesawang yang mempunyai kandungan kemudaratan dalam talian tertinggi direkodkan pada 2021 iaitu sebanyak 6,571, bagaimanapun jumlah ini menunjukkan trend penurunan hingga Ogos 2024 (2,127),”kata SKMM.

Menurut suruhanjaya itu, sekatan yang dilakukan adalah mengikut Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKM 1998) serta undang-undang di bawah bidang kuasa agensi penguatkuasaan lain antaranya polis, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup serta Suruhanjaya Sekuriti.

Dalam konteks lebih besar, sekatan laman sesawang itu turut mengekang jenayah lain seperti pemerdagangan manusia, pengantunan kanak-kanak, penjualan bahan terlarang seperti dadah dan jenayah terancang.

Bagi memastikan sekatan kekal berkesan dan selari dengan perkembangan teknologi, SKMM komited bekerjasama rapat dengan penyedia perkhidmatan tempatan bagi menambah baik serta memperkukuh langkah pencegahan dan perlindungan termasuk dalam aspek pengurusan Sistem Nama Domain (DNS).

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here