Kuala Kangsar, Ogos-
Polis menahan seorang warga emas bagi membantu siasatan insiden bendera Malaysia dipasang secara terbalik di sebuah premis bangunan, di Jalan Dato Sagor, di sini yang mana insiden berkenaan turut tular di media sosial sejak beberapa hari lalu.
Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Heisham Harun berkata, tangkapan dilakukan ke atas lelaki berusia 60-an yang menghuni premis terbabit susulan satu laporan polis mengenainya dibuat berkaitan hantaran tular terbabit.
“Polis mengesan hantaran yang ditularkan melalui laman Facebook ” KUALA KANGSAR TETAP DI HATI” mengenai pemasangan bendera Malaysia secara terbalik itu jam 3.20 petang hari ini ketika pengadu berada di pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Kangsar di bangunan itu.
“Satu laporan polis dibuat berkaitan dengan hantaran itu, dan tangkapan dibuat ke atas seorang lelaki berusia 60-an bagi membantu siasatan,” katanya ketika dihubungi.





















