Pengambilan pekerja dari India lebih teratur dengan MoU baharu, kata menteri

New Delhi, Ogos-
Pengambilan pekerja dari India akan lebih telus, adil dan teratur, selain mencegah amalan buruk seperti eksploitasi dengan termeterainya memorandum persefahaman (MoU) baharu antara kerajaan Malaysia dan India di sini, Selasa lepas.

Menteri Sumber Manusia, Steven Sim, berkata MoU asal luput pada 2014 menyebabkan hampir sepuluh tahun tiada garis panduan jelas menguruskan pengambilan pekerja dari India.“Walaupun begitu, lebih 133,000 pekerja India tetap memasuki Malaysia, walaupun tiada garis panduan antara kedua-dua negara.

“Dengan termeterainya MoU baharu ini, pengambilan pekerja dari India akan lebih telus, adil dan teratur, sekali gus menghindari amalan buruk seperti eksploitasi pekerja migran yang boleh memberikan kesan buruk kepada negara dan pekerja tempatan,” katanya kepada wartawan Malaysia di sini.Sim mengiringi Perdana Menteri, Anwar Ibrahim yang mengakhiri lawatan rasmi tiga hari ke India semalam.

MoU berkaitan pengambilan, penggajian dan penghantaran pulang pekerja itu membabitkan pertukaran dokumen antara Sim dan Menteri Luar India, S. Jaishankar.

Anwar dan rakan sejawatannya dari India, Narendra Modi menyaksikan pemeteraian MoU itu di Hyderabad House di sini, Selasa lalu.

Sementara itu, Sim berkata, MoU kedua ditandatangani TalentCorp Malaysia dan sebuah pusat pembangunan kemahiran di India bertujuan membangunkan ekosistem latihan kemahiran bersepadu serta pemadanan pekerjaan.

Dalam sektor pengambilan pekerja, katanya, enam sektor kritikal di Malaysia memerlukan pekerja migran dari India, antaranya perkhidmatan, perladangan dan pertanian.

Lebih 85,000 pekerja berkemahiran tinggi dari India kini bekerja di Malaysia dalam bidang kejuruteraan dan teknikal.

Menteri Digital, Gobind Singh Deo yang memeterai MoU dengan kerajaan India berkaitan kerjasama dalam bidang teknologi digital, berkata agensi di bawah kementeriannya seperti Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) memainkan peranan penting melaksanakan kerjasama itu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here