Perusahaan di Balakong dipilih destinasi pelancongan pada 2021

Beberapa perusahaan di Balakong akan dimasukkan dalam senarai destinasi pelancongan di Selangor tahun depan, kata Ahli Dewan Negerinya.

Wong Siew Ki berkata sebagai permulaan pihaknya menyasarkan sekurang-kurangnya lima lokasi dipromosi dalam Program Pelancongan Industri dan Kilang yang menarik untuk dikunjungi.

“Di Balakong ada kilang aiskrim jenama Polar, saya rasa ramai tidak tahu ia adalah jenama tempatan begitu juga dengan industri bioteknologi seperti kulat.

“Kita sedang pilih beberapa perusahaan yang menepati syarat antaranya persekitaran kerja bersih, ada ruang pameran dan mempunyai keunikan atau kelebihan tersendiri,” katanya kepada pemberita selepas melawat kilang Ligno Biotech Sdn Bhd dan Polar Ice Cream Sdn Bhd di Kawasan Perindustrian Balakong semalam.

Siew Ki berkata program pelancongan dijangka menyumbang antara 10 hingga 20 peratus kepada pendapatan perusahaan tersebut.

“Kita berharap pengusaha pelancongan lebih inovatif dengan menawarkan pakej pengembaraan dan menarik untuk memenuhi kehendak pelbagai segmen seperti menganjurkan lawatan ke kilang yang mempunyai ruang pameran bagi menikmati pengalaman membeli-belah,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here