Seremban, Sep-
Seremban adalah daerah keenam tertinggi membabitkan kes penipuan dalam talian sepanjang tempoh Januari hingga Ogos tahun ini.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Ahmad Dzaffir Mohd Yussof, berkata Seremban merekodkan 701 kes manakala Nilai juga mencatatkan rekod membimbangkan dengan 434 kes di kedudukan ke-15 dalam negara.
Beliau berkata, sebanyak 1,710 kes membabitkan penipuan dalam talian dicatatkan dengan nilai kerugian RM47.1 juta di negeri ini bagi tempoh Januari hingga Ogos tahun ini berbanding 2,024 kes penipuan melibatkan kerugian sebanyak RM40.9 juta tahun lalu.
“Walaupun jumlah kes penipuan ini menunjukkan penurunan sebanyak 18%, tetapi jumlah kerugian dialami tinggi iaitu meningkat lebih daripada RM6.2 juta yang menggambarkan bahawa kes seumpama ini masih membimbangkan,”katanya kepada pemberita pada Program Townhall Discussion, Cybercrime Threat#Saynotoscam peringkat kontinjen Negeri Sembilan 2024 di Dewan Majlis Bandaraya Seremban.