Petaling Jaya, Sep-
Polis memanggil Teresa Kok ke Bukit Aman esok susulan kenyataan beliau mengenai kajian oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) untuk mewajibkan sijil halal bagi restoran dan syarikat makanan.
Ketua Polis Negara, Razarudin Husain, berkata Ahli Parlimen Seputeh itu diminta hadir untuk memberi keterangan di Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) D5 Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman pada jam 10 pagi, lapor Sinar Harian.
“Terdapat beberapa saksi lain yang akan dipanggil antaranya pihak Jakim yang akan ditentukan kemudian,”katanya.
Semalam, Razarudin berkata polis memulakan siasatan terhadap Kok selepas pihaknya menerima lima laporan di seluruh negara berkaitan kenyataan itu.Katanya, kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan, Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia.
“Prosedur operasi standard (SOP) siasatan 3R (kaum, agama, raja) akan dijalankan selepas laporan polis diterima dan semua saksi akan dipanggil bagi melengkapkan siasatan,”katanya.
Pada Khamis, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Mohd Na’im Mokhtar, berkata Jakim sedang mengkaji cadangan mewajibkan restoran dan syarikat makanan di negara ini memiliki sijil halal, kecuali premis menjual daging babi atau minuman beralkohol.
Membidas cadangan itu, Kok berkata ia hanya akan menambah kesukaran operasi perniagaan dan beban kepada perniagaan kecil.



















