Kuala Lumpur, Sep-
Jururawat ditahan susulan bayi berusia 30 hari meninggal dunia selepas diberi susu di sebuah pusat jagaan berpantang di Kota Bharu, Kelantan.
Suspek yang ditahan 6 petang tadi akan dibawa ke Mahkamah Majistret Kota Bharu esok bagi permohonan reman selepas bayi lelaki itu disahkan meninggal dunia ketika dibawa untuk rawatan di Kota Bharu Medical Centre (KBMC), semalam.
Ketua Polis Kota Bharu, Mohd Rosdi Daud, berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian pengabaian sehingga menyebabkan kematian seorang bayi di IPD Kota Bharu, kira-kira 8.24 pagi tadi.
“Mangsa merupakan seorang bayi lelaki berusia 30 hari didapati tidak sedarkan diri selepas diberi susu oleh seorang jururawat yang ditugaskan menjaganya.
“Bayi itu kemudian dibawa ke KBMC untuk rawatan sebelum disahkan meninggal dunia,”katanya menurut Kosmo.
Beliau berkata, wanita itu akan dibawa ke Mahkamah Majistret Kota Bharu untuk permohonan reman pagi esok.
Katanya, jururawat berusia lingkungan 20-an itu disiasat mengikut Seksyen 31(1) (a) Akta Kanak-kanak 2001.