Kangar, Sep-
Polis mengesahkan kematian bekas pelumba Moto 3 dan Cup Prix negara, Elly Idzlianizar Elias, 40, disebabkan kecederaan parah akibat ditetak dan ditikam selepas terbabit dengan pergaduhan di Kangar dalam kejadian jam 9 hingga 10 malam Selasa lalu.
Dalam kejadian itu mangsa dipercayai pergi ke rumah seorang lelaki berusia 51 tahun di Taman Behor Gonchar Jaya, Jalan Dato Ali, Kangar dalam keadaan marah sebelum pergaduhan tercetus.
Ketua Polis Daerah Kangar, Asisten Komisioner Yusharifuddin Mohd Yusop berkata, pihaknya menerima maklumat sekitar jam 11.13 malam yang memaklumkan berlakunya kejadian pergaduhan di taman perumahan berkenaan.
Berdasarkan maklumat yang kita terima berlaku pergaduhan membabitkan empat individu termasuk mangsa di laluan masuk persimpangan jalan Taman Behor Gonchar Jaya.
“Apabila anggota polis sampai di tempat kejadian, didapati mangsa dan tiga lagi individu yang terbabit dalam pergaduhan itu sudah pun dibawa ke Hospital Tuanku Fauziah, Kangar untuk menerima rawatan.






















