Johor Baru, Sep-
Semua pihak termasuk pihak berkuasa, badan bukan kerajaan (NGO) dan orang ramai digesa memainkan peranan bersama dalam melindungi kanak-kanak daripada sebarang bentuk penganiayaan.
Perkara itu disuarakan Che’ Puan Mahkota Khaleeda Johor susulan beberapa rumah amal yang disyaki menjalankan eksploitasi, pengabaian dan penganiayaan kepada 402 orang mangsa berusia antara setahun hingga 17 tahun.
Beliau turut menggesa kerajaan supaya mengambil langkah proaktif untuk memperkukuhkan pemantauan ke atas rumah amal dan institusi penjagaan kanak-kanak yang lain.
“Apabila jenayah sekeji ini berlaku, menjadi tanggungjawab kita semua untuk memastikan pelakunya dihadapkan ke muka pengadilan tanpa sebarang kompromi.
“Langkah-langkah pemulihan serta sokongan psikologi dan sosial harus diberikan dengan segera untuk membantu mereka daripada trauma yang dialami akibat eksploitasi ini.
“Tiada siapa yang berhak mengeksploitasi kelemahan atau kekurangan kanak-kanak, apatah lagi berselindung di sebalik topeng agama atau kebajikan,” katanya.
Beliau menzahirkan ucapan syabas dan tahniah kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang menjalankan Op Global itu dibantu Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Kementerian Kesihatan (KKM) dan Jabatan Kimia Malaysia dalam menyiasat dan membongkar kegiatan jenayah berkenaan daripada terus berlaku.