Ipoh, Sep-
Seramai 101 murid dari SK Chepor di sini mengalami keracunan dipercayai selepas makan ayam goreng dan minuman coklat di kantin sekolah semalam.
Pengarah Kesihatan Perak, Dr Feisul Idzwan Mustapha, berkata mereka dimaklumkan mengenai kejadian itu melalui sistem e-pemberitahuan semalam pada jam 8 pagi apabila lima murid dari sekolah tersebut menunjukkan gejala keracunan makanan seperti cirit-birit, muntah, sakit perut, dan demam.
“Semua murid telah menerima rawatan di dua kemudahan kesihatan di sekitar Ipoh. Ini mendorong Unit Kawalan Penyakit Berjangkit Pejabat Kesihatan Daerah Kinta untuk menjalankan siasatan di sekolah tersebut semalam jam 10.30 pagi.
“Hasil siasatan pengesanan kes aktif, sejumlah 96 kes tambahan telah dikenal pasti menjelang jam 5 petang semalam, menjadikan jumlah keseluruhan kes kepada 101 membabitkan 50 murid perempuan dan 51 murid lelaki,” katanya dalam kenyataan hari ini.