Muka tersembam atas tar selepas diragut, warga emas parah

Kuala Lumpur, Okt-
Seorang wanita warga emas parah pada kepala akibat tersembam selepas menjadi mangsa ragut di tepi Jalan Limau Manis, dekat Bangsar, di sini, pagi tadi.

Kejadian berlaku kira-kira jam 6.30 pagi ketika mangsa yang berusia 78 tahun sedang berjalan kaki seorang diri ke kedai berhampiran untuk membeli surat khabar yang menjadi rutin hariannya setiap pagi.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Ku Mashariman Ku Mahmood, mengesahkan kejadian itu dengan mangsa cedera pada kepala dan kini dirawat di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM). “Pendarahan dialami mangsa agak serius dan wanita itu kini dalam pemantauan rapi pasukan perubatan hospital berkenaan,” katanya melalui kenyataan.

Ku Mashariman bagaimanapun berkata mangsa hanya mengalami kerugian kecil berikutan tiada barangan berharga dalam beg yang dilarikan peragut.

“Siasatan lanjut sedang dijalankan termasuk mengesan suspek yang masih bebas,” katanya.

Terdahulu, tular satu video rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di tempat kejadian menunjukkan mangsa sedang berjalan kaki bersendirian berhampiran kawasan perumahan.

Tiba-tiba soerang lelaki yang menunggang motosikal menghampiri dari belakang dan meragut beg dibawa mangsa menyebabkan wanita itu tersembam di atas jalan tar.

Melalui rakaman video berdurasi dua minit 45 saat itu, mangsa dilihat terus tertiarap seketika sebelum bangun perlahan-lahan dan duduk.

Kejadian hanya disedari beberapa orang awam selepas lebih dua minit mangsa terduduk dalam keadaan kepalanya berdarah.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here