Ipoh, Okt-
Polis menembak mati seorang lelaki dipercayai dalang sindiket samun bersenjata yang menyasarkan pemborong emas di Jalan Slim Lama, Tanjung Malim, awal pagi ini.
Pemeriksaan latar belakang oleh polis menunjukkan suspek adalah ‘perancang utama’ kumpulan penjenayah yang menyasarkan emas yang dibawa pemborong.
Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris, berkata bahawa Pusat Kawalan Daerah Muallim menerima maklumat kejadian tembak-menembak antara seorang penjenayah dan pihak polis pada jam 3.10 pagi tadi.
“Ketika menjalankan rondaan dan risikan, polis mengesan seorang lelaki yang memandu laju sebuah Nissan Almera di sepanjang Jalan Slim. “Polis mengarahkan lelaki berusia 43 tahun itu supaya memberhentikan kenderaannya, tetapi dia terus memecut laju dan melepaskan beberapa das tembakan ke arah kereta peronda polis.
“Bagi mempertahankan diri, polis membalas tembakan dan terkena suspek. Lelaki itu disahkan mati di tempat kejadian oleh pembantu perubatan dari Klinik Kesihatan Tanjung Malim,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen Polis Perak hari ini.
Azizi berkata, pemeriksaan lanjut mendapati lelaki itu berasal dari Klang, Selangor dan mempunyai rekod jenayah lampau membabitkan rompakan berkumpulan, sengaja menyebabkan kecederaan, dan penipuan.
“Semasa pemeriksaan ke atas kereta itu, polis merampas sepucuk pistol Sig Sauer, satu kelopak peluru, enam butir peluru, tiga botol berisi peluru pistol dan dua bilah parang.





















