Klang, Jun-
Jabatan Imigresen Selangor memeriksa kira-kira 1,700 warga asing selepas menggempur kawasan perumahan di Jalan Sultan Abdul Samad di Bandar Sultan Suleiman menerusi Op Bersepadu petang tadi.
Pengarah Imigresen Selangor Khairrul Aminus Kamaruddin berkata kawasan perumahan membabitkan warga Bangladesh, Pakistan, Myanmar dan Indonesia itu diserbu hasil risikan selama tiga bulan.
“Kita mendapat banyak aduan daripada penduduk setempat dan situasi berkaitan kehadiran mereka di kawasan ini turut disebarkan menerusi media sosial.
“Pemeriksaan mendapati ada dalam kalangan mereka melakukan kesalahan antaranya tidak memiliki permit atau pas yang sah untuk tinggal di negara ini, tinggal lebih masa dan melanggar syarat permit atau pas,” katanya kepada pemberita pada operasi itu.
Beliau berkata operasi berkenaan disertai 298 anggota dan pegawai imigresen, Pasukan Gerakan Am Briged Tengah, Jabatan Pendaftaran Negara, Majlis Bandaraya Diraja Klang dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup.



















