Kuala Lumpur, Okt-
Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) berharap pengumuman gaji minimum baharu RM1,700 bermula Februari depan disusuli dengan penguatkuasaan yang tegas.
Presiden Mohd Effendy Abdul Ghani berkata, majikan harus bertanggungjawab sepenuhnya untuk mematuhi kadar gaji minimum baharu tanpa cuba mengelak, atau mengeksploitasi pekerja.
“Kenaikan ini menunjukkan komitmen kerajaan terhadap kesejahteraan pekerja di seluruh negara, terutama kumpulan berpendapatan rendah,”katanya dalam kenyataan.
Terdahulu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengumumkan gaji minimum baharu, iaitu RM1,700 berbanding RM1,500 pada masa ini, ketika membentangkan Belanjawan 2025 di Dewan Rakyat.
Bagaimanapun, Anwar berkata, kerajaan memberi penangguhan enam bulan kepada majikan yang mempunyai kurang lima pekerja, dengan pelaksanaan bermula 1 Ogos.
Sehubungan itu, MTUC mencadangkan bantuan insentif, latihan dan pembiayaan diberikan kepada kelompok berkenaan bagi membantu mereka menyesuaikan diri dengan peningkatan kos operasi akibat kenaikan gaji.





















