Kuala Lumpur, Okt-
Jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di Perak, Perlis dan Selangor meningkat manakala banjir di Kedah serta Pahang beransur pulih setakat 8 malam semalam.
Di Perak, Portal Bencana Pusat Kawalan Bencana Negara (NDCC) Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) memaklumkan jumlah mangsa yang berlindung di 12 PPS meningkat kepada 1,587 orang berbanding 1,459 orang petang semalam.
Keadaan sama direkodkan di Perlis dengan jumlah mangsa dipindahkan meningkat kepada 47 orang berbanding 28 orang, sementara di Selangor mangsa yang berlindung di PPS sedikit bertambah kepada 117 orang berbanding 105 orang, petang .
Banjir di Kedah pula beransur surut dengan merekodkan 137 mangsa masih ditempatkan di satu PPS di Kota Setar berbanding 203 mangsa, petang semalam.
Di Pahang, jumlah mangsa banjir di enam PPS di Temerloh mencatatkan penurunan kepada 1,418 orang berbanding 1,616 orang, petang semalam.



















