Shah Alam-
Pengambilan berlebihan buah-buahan yang terdedah kepada racun makhluk perosak (RMP) atau dikenali sebagai pestisid boleh meningkatkan risiko pelbagai jenis kanser seperti payudara, prostat, leukemia dan lain-lain.
Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Dr Safiya Amaran berkata, kajian menunjukkan residu pestisid kerap ditemui dalam sampel buah-buahan yang diuji dan adakalanya ia melebihi nilai maksimum residu RMP yang dibenarkan.
Kerana itu menurutnya, penggunaan pestisid boleh menimbulkan risiko kesihatan jangka panjang jika dimakan dalam kuantiti berlebihan.
“Risiko kesihatan lain termasuk gangguan kepada sistem hormon. Ia boleh menyebabkan gangguan perkembangan pada kanak-kanak, kecacatan kelahiran serta masalah sistem pembiakan.
“Terdapat juga potensi kesan neurologi seperti sakit kepala, kekeliruan dan kelemahan otot, disebabkan oleh bahan kimia tertentu yang mengganggu fungsi saraf.
“Di samping itu, campuran pelbagai jenis pestisid pada satu buah boleh membebankan fungsi hati dan buah pinggang,” katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.
Beliau berkata demikian mengulas berhubung amaran dikeluarkan Rangkaian Amaran Racun Perosak Thailand (Thai-PAN) mengenai pencemaran anggur Shine Muscat selepas kebanyakan sampel yang dikumpulkan didapati mengandungi sisa kimia berbahaya melebihi paras maksimum dibenarkan.
Mengulas lanjut, Dr Safiya menjelaskan, Shine Muscat atau anggur premium tanpa biji berasal dari Jepun itu kaya dengan antioksida seperti vitamin C dan polifenol yang membantu melawan radikal bebas, mengurangkan risiko penyakit jantung dan memperbaiki kesihatan kulit selain kaya dengan serat yang baik untuk sistem pencernaan.“Bagaimanapun, anggur ini mungkin terdedah kepada pestisid seperti chlorpyrifos, captan dan dimethoate untuk kawalan hama.
























