Mulai 1 Januari 2025 – Tiada lagi bayaran tunai di KTMB

Shah Alam, Nov-
Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) akan beralih kepada mod bayaran tanpa tunai sepenuhnya melibatkan semua transaksi pembelian tiket bermula 1 Januari 2025 di sektor Lembah Klang, Utara, Selatan dan Pantai Timur.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan KTMB, Datuk Mohd Rani Hisham Samsudin berkata, pihaknya kini dalam fasa peralihan bagi memberi pendedahan dan kesedaran kepada orang ramai khususnya warga emas serta orang kurang upaya (OKU).

Dalam tempoh peralihan sehingga akhir tahun ini, kaunter-kaunter tiket masih menerima transaksi tunai. Pelbagai medium dan hebahan juga dilaksana bagi menguar-uarkan kempen.
Antaranya, pemakluman notis dan video melalui media sosial rasmi KTMB, edaran bahan promosi di stesen, pengumuman di dalam tren serta kerjasama dengan bank tempatan untuk membuka reruai pendaftaran pembukaan akaun bagi mereka yang belum memiliki kad debit.

“Selain itu, kakitangan di stesen juga akan membantu pelanggan khususnya untuk mendaftar aplikasi KTMB Mobile (KITS), membuat pembelian tiket dan mendaftar atau menggunakan kad Komuter Link,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here