Buli Siber: Ahli Keluarga Terdekat Boleh Buat Laporan

Anetha Gunasekaran

Menurut Ketua Pegawai Penguatkuasaan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Eneng Faridah Iskandar, jika seseorang mengalami tekanan mental akibat buli siber dan tidak mampu melaporkan insiden tersebut, ahli keluarga terdekat boleh membantu untuk membuat laporan kepada MCMC atau kepada pihak polis bagi pihak individu berkenaan. Ahli keluarga boleh mengemukakan bukti yang relevan untuk membantu siasatan bagi melindungi hak dan kesejahteraan mangsa. Dalam hal ini, pihak berkuasa akan mendapatkan keterangan lanjut dari mangsa buli itu sendiri kelak. Keterangan mangsa adalah merupakan elemen penting dalam proses siasatan.

Untuk menangani buli siber yang semakin berleluasa, kerjasama dari semua pihak adalah amat penting. Ibu bapa, pengguna Internet, pihak berkuasa, dan platform media sosial perlu memainkan peranan masing-masing. Di pihak ibu bapa, mereka boleh memantau aktiviti anak-anak mereka dalam talian dan memberi bimbingan tentang penggunaan Internet yang beretika.

Di pihak berkuasa pula, mereka boleh mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang terlibat. Buktinya, sejak tahun 2022 sehingga September 2024, sebanyak 564 laporan berkaitan kandungan yang dillarang telah disiasat. Daripada jumlah tersebut, sebanyak 150 pemeriksaan atau serbuan dibuat dimana alat-alat peranti berkaitan suspek jenayah telah dirampas. Dalam tempoh tiga tahun, sebanyak 24 kejadian telah didakwa di mahkamah. Dua daripada mereka telah dipenjarakan, seorang menerima hukuman penjara 27 hari dan seorang lagi hukuman penjara 6 bulan.

Hakikatnya, Internet kini sarat dengan pelbagai kandungan, baik yang positif mahupun perkara yang tidak senonoh dan tidak sesuai seperti kandungan berunsur ancaman, perjudian dalam talian, pelacuran, dan penjualan dadah.

Oleh yang demikian, pengguna Internet disarankan agar bertanggungjawab dalam setiap tindakan mereka di platform tersebut. Sekiranya pengguna mendapati sebarang kandungan atau komen yang berpotensi menyinggung atau menyakiti perasaan orang lain, mereka digalakkan untuk tampil membuat aduan kepada penyedia perkhidmatan atau platform media sosial yang berkaitan.

Eneng Faridah yang sudah berkhidmat di MCMC lebih 25 tahun lamanya berkata, semua aduan yang berkaitan dengan kandungan yang lucah, sumbang, jelik, mengancam dan palsu yang menyakitkan hati orang lain merupakan satu bentuk penyalahgunaan platform dalam talian di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Beliau juga menjelaskan, salah satu tugas utama sebagai pegawai penguatkuasa MCMC ialah meneliti laporan yang diterima serta membuat siasatan lanjut untuk mendapatkan keterangan pengadu, saksi dan mereka yang boleh memberikan maklumat mengenai kes selain memperolehi bukti yang mencukupi. Hasil siasatan akan dikemukakan kepada Timbalan Pendakwa Raya (DPP) untuk tindakan undang-undang selanjutnya.

Kejayaan atau kegagalan sesuatu kes bergantung sepenuhnya kepada bukti yang berjaya dikumpulkan oleh pihak berkuasa. Tugas ini bukanlah satu tugas yang biasa; sebaliknya menuntut ketelitian dan kepakaran yang tinggi, ujarnya lagi.

Disebabkan kemajuan pesat dalam dunia siber, sesiapa sahaja kini boleh menjadi sasaran atau mangsa buli siber. Serangan yang berterusan boleh dilakukan melalui pelbagai medium, menjadikan individu tersebut terdedah kepada tekanan dan ancaman emosi.

Oleh itu, MCMC sentiasa berusaha mencari jalan penyelesaian untuk menangani isu-isu rumit seperti ini bagi memastikan individu yang menjadi sasaran serangan siber diberikan perlindungan yang sewajarnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here