Ipoh: Polis Perak menahan 92 remaja atas kesalahan lumba haram dalam Op Selamat yang memberi tumpuan kepada samseng jalanan yang dijalankan di beberapa lokasi panas ‘mat rempit’ awal pagi hari ini.
Ketua Polis Daerah Ipoh Asisten Komisioner Yahaya Hasan berkata, mereka yang ditahan itu membabitkan 89 lelaki dan tiga perempuan berusia antara 15 hingga 26 tahun dalam operasi bermula 1 pagi di kawasan sekitar Station 18 di Pasir Puteh di sini.
Pihak polis menjalankan operasi itu hasil aduan dan maklumat orang awam berkaitan motosikal yang berlumba dan menunggang secara berbahaya. Kami menjalankan operasi bagi mengurangkan kegiatan samseng jalanan membabitkan kumpulan bermotosikal yang sering mendatangkan kegusaran kepada masyarakat setempat.
Polis turut menyita 14 motosikal atas pelbagai kesalahan antaranya pengubahsuaian kenderaan dan pemalsuan nombor pendaftaran kenderaan,katanya pada sidang media Op Selamat hari ini.
Jelasnya, selain itu, tujuh individu ditahan mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu memandu dalam keadaan berbahaya, manakala dua orang positif dadah selepas ujian air kencing oleh pihak Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dan akan disiasat mengikut Seksyen 3(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Menurutnya, sebanyak 241 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan seperti tiada lesen memandu dan melanggar lampu isyarat membabitkan pelajar sekolah dan penuntut institusi pengajian tinggi (IPT).