SPM 2024 bermula 2 Disember hingga 6 Februari

Kuala Lumpur, Nov-
Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Tahun 2024 membabitkan 402,956 calon akan bermula 2 Disember hingga 6 Februari depan di 3,337 pusat peperiksaan di seluruh negara.

Kementerian Pendidikan (KPM), berkata Ujian Bertutur Bahasa Melayu akan berlangsung pada 2, 3, 4 dan 5 Disember, manakala Ujian Amali Sains pada 9,10 dan 12 Disember ini.

“Ujian Bertutur Bahasa Inggeris pula akan berlangsung 16,17,18, dan 19 Disember; Ujian Mendengar Bahasa Melayu (31 Disember) dan Ujian Mendengar Bahasa Inggeris (31 Disember).

“Ia akan disusuli peperiksaan bertulis yang akan berlangsung pada 2 Januari hingga 6 Februari 2025,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

KPM berkata, seramai 126,636 petugas peperiksaan dilantik bagi memastikan kelancaran pengurusan dan pengendalian peperiksaan.

Selain itu, KPM turut mengingatkan semua calon peperiksaan SPM Tahun 2024 agar merujuk jadual waktu peperiksaan bagi mendapatkan maklumat mengenai tarikh, masa, kod dan kertas peperiksaan.”Jadual waktu peperiksaan SPM Tahun 2024 boleh dimuat turun dari laman sesawang Lembaga Peperiksaan (LP) melalui pautan lp.moe.gov.my.

“Calon juga diingatkan supaya membawa dokumen pengenalan diri dan Pernyataan Pendaftaran Peperiksaan ke pusat peperiksaan. Calon juga hendaklah mematuhi prosedur operasi standard dan peraturan yang ditetapkan bagi memastikan kelancaran pengurusan pengendalian peperiksaan SPM Tahun 2024,” katanya.

Menyentuh mengenai kemungkinan musim banjir yang mengganggu perjalanan peperiksaan, KPM berkata, mereka bersiap siaga dengan mekanisme dan langkah persediaan sewajarnya termasuk bekerjasama dengan agensi kerajaan lain yang berkaitan.

“Calon dinasihatkan untuk memaklumkan kepada pihak sekolah atau jabatan pendidikan negeri (JPN) dengan segera sekiranya tidak dapat hadir di pusat peperiksaan yang sudah ditetapkan atau mana-mana pusat peperiksaan berhampiran disebabkan oleh bencana.

“Calon juga boleh menghubungi talian bilik gerakan peperiksaan yang disediakan di ibu pejabat LP dan JPN di seluruh negara,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here