Pecat kerana dedah suasana kerja

Bekas pekerja Top Glove, Yubaraj Khadka, 27, mengakui terkejut apabila dipecat secara tiba-tiba ekoran perkongsian gambarnya mengenai ketiadaan pelaksanaan penjarakan fizikal di kalangan pekerja di syarikat pengeluar sarung tangan terbesar dunia itu.

Warganegara Nepal yang telah lapan tahun bekerja di Top Glove itu menyifatkan pemberhentiannya dari kilang itu pada September lalu dibuat secara salah.

Sebaliknya, beliau percaya telah melakukan perkara yang betul apabila memberikan maklumat kepada petugas hak asasi, Andy Hall mengenai suasana kerja di Top Glove.

 

Menceritakan pengalamannya selepas dikenal pasti sebagai individu yang mendedahkan gambar itu, beliau memberitahu telah diberikan “kaunseling” selama 11 jam.

“Mereka juga mengambil telefon saya dari pukul 10 pagi hingga kira-kira jam 9 malam. Mereka meneliti setiap mesej saya,” dedahnya.

Reuters pada 13 Disember lalu melaporkan Yubaraj diberhentikan kerja sebagai pembantu kualiti pada 23 September lalu setelah syarikat itu mengecamnya melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV).

Beliau kemudiannya pulang ke kampung halamannya pada Oktober lalu dan melakukan ujian saringan Covid-19 sebelum berlepas.

Menurutnya, penjarakan fizikal tidak dilaksanakan di Top Glove walaupun ia merupakan syarat wajib bagi memutuskan rantaian jangkitan Covid-19.

Beliau juga mendakwa kawasan asrama penginapan pekerja sesak dengan sistem pengudaraan yang kurang baik.

Susulan gambar-gambar itu, Yubaraj kemudiannya diberitahu bahawa pekerja Top Glove dilarang daripada mengambil atau berkongsi gambar tempat kerja mereka.

Syarikat yang memperoleh keuntungan bersih berganda ketika pandemik Covid-19 itu dilapor berkata, pemecatan Yubaraj kerana merakam gambar-gambar berkenaan.

Salah laku tersebut dianggap sebagai “tanpa mendapat persetujuan terlebih dahulu dari pihak pengurusan”, mengikut surat pemberhentian itu.

Untuk rekod, Top Glove Corporation Bhd (Top Glove) mencatat keuntungan bersih RM2.41 bilion bagi suku pertama berakhir 30 November tahun ini.

Rekod itu adalah 20 kali ganda lebih tinggi berbanding suku sama tahun sebelumnya, sekali gus menjadi keuntungan tertinggi dalam sejarah syarikat itu.

Pendapatan Top Glove juga meningkat hampir tiga kali ganda pada suku dikaji kepada RM4.8 bilion berbanding RM1.21 bilion pada suku sama sebelum ini.

Dalam masa sama, jumlah jangkitan Covid-19 di kilang Top Glove di Klang, Selangor adalah penyumbang terbesar kes positif di negara ini.

Jangkitan virus dalam kalangan pekerja di syarikat yang mempunyai 28 kilang kesemuanya itu mencetuskan kluster Teratai sebagai kluster baharu dikenal pasti pada 7 November lalu.

Kes indeks bagi kluster Teratai iaitu kes ke-35,263 telah dikenal pasti positif Covid-19 hasil saringan individu bergejala pada 2 November lalu.

Setakat semalam, Kluster Teratai mencatatkan 5,531 kes positif Covid-19 sekali gus jumlah tertinggi berbanding 45 kluster aktif lain.

Pada 2 Disember lalu, Kementerian Kesihatan (KKM) mendapati kluster itu sudah merebak ke peringkat komuniti membabitkan dua generasi.

Pekerja Top Glove juga warga Nepal, Yamnarayan Chaudhary Tharu, 29, menjadi pekerja pertama syarikat itu yang meninggal dunia akibat jangkitan Covid-19 lapor media antarabangsa.

Sementara itu, KKM dalam kenyataan pada 13 Disember lalu memberitahu terdapat empat lagi kematian direkodkan menjadikan jumlah kumulatif kes kematian Covid-19 di negara ini sebanyak 415 kes setakat kelmarin.

Salah satunya, kes positif Covid-19 ke-55,965 yang menjadi kes kematian ke-415 melibatkan lelaki bukan warganegara berusia 29 tahun yang meninggal di Hospital Sungai Buloh.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here