Mangsa rogol di pusat jagaan anak yatim swasta diselamatkan

Johor Bahru, Dis-

Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Johor menyelamatkan seorang remaja berusia 17 tahun, dipercayai menjadi mangsa rogol pemilik sebuah pusat jagaan anak yatim swasta di Kulai.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri Johor, Khairin Nisa Ismail berkata insiden itu mendukacitakan pihaknya dan siasatan dijalankan sejak Khamis lalu.

“Untuk makluman, polis masih lagi menjalankan siasatan berkenaan isu ini. Pengerusi pusat jagaan ini sedang dalam tahanan polis daerah Kulai untuk siasatan lanjut.

“Semua penghuni di pusat jagaan itu kini berada dalam keadaan selamat. JKM Johor melalui Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah Kulai sedang membuat pemantauan terhadap pusat jagaan ini.

“Kerajaan negeri akan sentiasa memastikan semua Pusat Jagaan khususnya Pusat Jagaan Kanak-Kanak dalam negeri Johor berada di bawah pemantauan JKM dengan kerjasama polis,”katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Dalam pada itu, satu rakaman video tular di media sosial berdurasi 56 saat dipercayai berlaku di pusat jagaan sama, memaparkan seorang lelaki memukul kanak-kanak perempuan dengan pembaris kayu panjang.

Lelaki dipercayai berusia lewat 50an memukul kanak-kanak perempuan terbabit dengan disaksikan beberapa lagi kanak-kanak lain, biarpun mangsa sudah memohon maaf.

Ketua Polis Daerah Kulai, Asisten Komisioner Tan Seng Lee mengesahkan menerima laporan berhubung insiden itu kira-kira jam 10.29 malam semalam.

Katanya, siasatan awal mendapati kejadian di sebuah rumah jagaan anak yatim swasta di Taman Mas, Kulai yang membabitkan mangsa berusia 10 tahun yang juga penghuni rumah jagaan itu.

“Mangsa dipukul oleh lelaki tempatan berusia 59 tahun yang juga penjaga rumah anak yatim tersebut pada bulan Oktober lalu.

“Suspek sebelum ini ditahan pada 30 November lalu bersabit kes rogol dan masih dalam tahanan reman sehingga esok. Kes disiasat dibawah Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-kanak 2001,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here